DIA KEMBALI AKHIRNYA

SIAPA SITI NOR BAGIKU

Siti Nor Batik SNB itu adalah nama glamor beliau terakhir ini. Aku dan isteri memanggilnya Kak Nor. Di kalangan keluarga beliau lebih dikenali sebagai Umie. Dia adalah sepupuku. Dia mengambil berat tentangku sejak aku kecil lagi dan aku anggapnya sebagai kakak keduaku selepas Kak Nab.

DETIK KEJADIAN

Semalam; selasa 4 April 2021 aku dikejutkan pada pukul 5.15pagi dengan berita kematiannya seawal 3pagi tadi. Ternganga kesasaran aku, lidah kelu, jantung seolah terhenti, muka terasa kebas. Sedetik dua berlalu baru dapat aku ungkapkan ‘Innalillahi wainna ilaihi rajiun’. Dia pergi di dalam tatangan suaminya ketika merebahkan badan untuk tidur. Sempat diajar mengucap oleh Abe Mae sebelum menghembus nafas terakhir bila nampak dia dah menghampiri detiknya. Allahu akbar

RENTETAN HARI PEMERGIAN

Kami segera tergegas ke rumah beliau. Sempatlah kami duduk tafakkur dan sama-sama merasai suasana sedih sayu bersama keluarga terdekat. Tak perlu takziah meleret dan nasihat memanjang, hanya keberadaan bersama dan sentuhan tangan sebagai penzahiran takziah dan kerapatan keahlian keluarga.

Sempatlah kami melihat wajahnya yang pucat kerana sudah ketiadaan nyawa sebelum dimandi dan kafankan nanti.
6.00pg Azan berkumandang dari masjid berdekatan. Kami meminta diri dahulu untuk selesaikan kewajipan. Masjid al Quddus menjadi pilihan kerana berdekatan dan adalah masjid lazim ku sebelum berpindah ke rumah sekarang.


Selepas selesai urusan fardhu, perut pula meronta. Singgahlah kami dahulu di Nasi Kerabu Tumis Liniey buat penyendal perut sebelum kami ke rumah arwah semula. Setibanya di sana, kawasan rumah sudah ramai pengunjung untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. Memang arwah sangat disenangi ramai kerana keramahannya dan senyuman yang tak lekang di bibir, semanis dan seberseri barisan kain batik berkualiti yang menjadi signature perniagaannya.


Abe Mae dalam kesedihan di hati yang Allah sahaja yang tahu masih mampu melayan pengunjung dan memberikan ulasan selari bila diperlukan tentang detik pemergian arwah dan permulaan kesihatannya merudum, sehari sebelum Kelantan diisytiharkan PKP. Kini tinggallah foto kenangan bersama untuk tatapan ramai. Bagi dirinya sudah tentu cinta perasaan dan pahit manis menongkah arus bersama sehingga jenama SNB; Siti Nor Batik berdiri gah bersama pengusaha- pengusaha batik Kelantan yang lebih dahulu mencipta nama.

PERJALANAN YANG TAK KEMBALI

12.40pm Jenazah disolatkan dahulu oleh keluarga terdekat sebelum di bawa ke Masjid Langgar untuk solat jenazah yang lebih rasmi oleh jemaah yang lebih ramai.

MASJID LANGGAR

DISEMADIKAN

Selesai disolatkan di masjid, jenazah dibawa ke tempat persemadian abadinya; Kubur Maras berdekatan dengan ahli keluarga yang sudah  terlebih dahulu meninggal.

Semoga kakakku sepupuku dilapangkan kuburnya menjadi ibarat satu taman dari taman-taman syurga dan ditemani oleh amalan-amalan sedeqah yang sentiasa menjadi amalannya semasa hidup.

Semoga kakakku sepupuku dibangkitkan dengan lembut, dipayungi dalam perjalanan di Padang Mahsyar dan diletakkan bersama para solehah untuk melintasi Sirat sepantas kilat dan disambut oleh malaikat syurga untuk memasuki melalui mana-mana puntu yang disukai.

Untuk mengikuti dengan lebih mendalam saat-saat akhirnya, bolehlah menelusuri catatan di FB @mea sukri, anaknya.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221180135757862&id=1379396627


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221180581689010&id=1379396627

KENANGANKU

TEMPAT KELAHIRAN

Aku dilahirkan di Kg Tangok, Bachok Kelantan. Ia adalah sebuah kampong di pendalaman yang baharu kini celik mata dengan kemunculan Universiti Malaysia Kelantan dan beberapa pusat pendidikan termasuk SM Teknik Bachok dan Sekolah Seri Perdana. Kami dahulu adalah Ore Darat Bachok yang tinggal di kawasan tanah beris di atas Gong Tangok. Untuk cacatan pembesaranku di Kg Tangok, bolehlah tinjau Blog ini;

https://memoirofkampong.wordpress.com


KELUARGA DI KOTA BHARU

Emakku ada seorang adik yang tinggal di Bandar Kota Bharu, di Kg Khatib Ali; Mak Su Yam kami panggilnya. Arwah Mak Su ada lima orang anak dengan Arwah Pak Su Mad; yang sulongnya adalah Siti Nor yang menjadi watak utama Blog ini.

VW BEETLE

Pak Su Mad memiliki sebuah kereta VW Beetle. Adalah menjadi rutinnya untuk turun ke darat Tangok ni menziarah kami dari masa ke semasa. Sampai sahaja dan bila pintu kereta dibuka, keluarlah satu demi satu anak-anak dengan tersengeh dari dalam kereta Beetle tersebut. Bagaimana mereka duduk di dalam dan mengharungi perjalanan dari KB ke Tangok dengan keadaan jalan dahulu, tak pastilah aku. Yang pasti budak-budak sekarang akan ‘jentak bulu’ kalau dibuat begitu.

RUMAH MAK SU YAM

Kami juga mengunjungi Mak Su di Khatib Ali, Kota Bharu dari masa ke semasa. Rumahnya tinggi dengan tangga utama simen yang lebar macam rumah-rumah di tepi Sungai Kelantan. Ia kelihatan begitu gah sekali. Keluarga Pak Su adalah dari anak beranak Tok Koda Ali (Nakhoda Ali) yang merupakan antara keluarga utama di kampung Khatib Ali bersama keluarga Tok Katib Ali. Abang iparku adalah dari keluarga kedua ini.


Selalunya bila kami datang, kami akan tidur bersama di ruang legar yang luas itu, berderet macam askar. Dan selalunya Kak Nor akan tidur di sebelahku. Bila datang aku rasa begitu rendah diri kerana mereka orang bandar dan dari keluarga yang kuat dan berpengaruh. Aku ore darat dari pendalaman yang rasa serba tak kena dengan tata kehidupan bandar.


Sejak dari kecil dia buatkan aku macam adiknya. Dia akan jaga aku dan buatkan aku selesa. Satu pagi, bila tersedar aku dapati kain dan selimutku basah dan berbau hancing. Tergaru aku; aku kencing dalam tidur ke, di rumah orang pula?? Tetiba terdengar suara Mak Su, “Nor lah tu. Kecing dale tidur sokmo”. Aku terlihat Kak Nor tersipu di sebelah.

BERNIAGA

Pak Su adalah seorang peniaga tetapi aku tak tahu apa yang diniagakan. Taklah nampak gudang besar. Lori-lori besar selalu ada di dalam kawasan rumah. Lori-lori ini menghantar barangan keluar. Pemandu lori berkenaan; Pak Wil sudah macam ahli keluarga sendiri.


Bakat ini agaknya tertumpah kepada anaknya Siti Nor. Dari kecil dia nak berniaga. Teringat aku dia berniaga pencolek di bangsal kecil di depan kawasan rumah besarnya. Agaknya maaa tu masih peringkat tadika lagi. Masih terbayang aku senyum manisnya ketika menjual pencolek sedangkan aku hanya mampu tergamam. Sekarang ini aku tabik hormat kepada arwah Pak Su kerana tidak menghalang anak kecilnya berjual kecilan walau dalam umur setahun jagung.

PUJA UMUR – MAJLIS SAMBUTAN KELAHIRAN SULTAN KELANTAN.

Setiap tahun akan diadakan sambutan Hari Kelahiran Tuanku dengan meriah sekali. Ia lebih dikenali sebagai Puja Umur pada masa itu. Agaknya pengaruh animisma masih menebal pada waktu itu dan belum terhakis oleh golongan baru graduan al Azhar dan Pusat Pengajian Tinggi Agama lain yang secara gradual mencelikkan mata masyarakat serta membasmi pengaruh-pengaruh lama yang bertentangan dengan agama Islam.

Sebagai menceriakan kami anak-anak, ayah akan membenarkan kami ke KB dan bermalam di sana untuk menikmati perayaan. Pada masa itu bandar Kota Bharu bermandi cahaya berwarna warni dan permainan-permainan tradisional dihidangkan buat tantapan. Mak Yong, Menora, Wayang Kulit, Dikir Barat, Tarik selampit dan pelbagai pertunjukan di adakan. Tengoklah apa yang anda sukai.

Pada masa ini aku bagai kelkatu yang silau dengan api-api. Rasa macam berjalan dalam hutan api-api dengan ramainya manusia berpusu-pusu dengan pelbagai kumpulan atau sendirian. Kak Nor memegang tanganku dan tak lepas-lepas bawa dan pimpin aku dicelah-celah manusia yang pelbagai ragam. Kalau ada yang celupar terus dihamburnya. Perasaan takut agaknya tak ada di dalam dirinya. Hebat Kak Nor aku ni. Aku rasa selamat dengannya. Dan dia seolah menjadi pelindung setiaku bila kami menjadi tetamu di rumah mereka.

BERNIAGA KARPET

Bila aku mula berkhidmat dan kebetulan di Kota Bharu selalulah aku bertandan ke rumah Mak Su. Masa tu dia sudah berkahwin dengan suaminya sekarang; Abd Rahman aka Abe Mae. Dia berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, capai apa saja yang boleh mendatangkan hasil.


Pada satu ketika dia memberitahu bahawa ada satu ruang niaga yang boleh mendatangkan keuntungan agak lumayan, iaitu; perniagaan karpet. Dia tahu di KL ada kedai-kedai yang menawarkan harga karpet dengan diskaun besar, lebih-lebih lagi yang boleh menjadi wakilnya di KB. Dia sanggup jual dari rumah ke rumah tapi ketiadaan modal menjadi halangan. Aku cadangkan usahasama dengan aku sumber modal semampuku dan dia menjualnya dengan keuntungan diberi 50-50.


Jadi sempatlah juga aku ke KL dengan kereta Nissan Sunny 130Y ku dan membeli karpet dari Jalan TAR bawa balik hingga sendat kereta. But, tempat duduk belakang dan ruang antara kerusi dimuat karpet yang dilipat sedat oleh Abe Mae. Lasak juga Sunnyku.

PERKAHWINANKU

Selepas beberapa tahun bekerja sampailah masa untuk aku melamar seseorang sebagai permaisuri hidupku. Ibu bapaku menyerahkan urusan kepada kakakku Kak Nab, juga warga Khatib Ali. Kak Nab dan Kak Nor lah yang menjadi perancang dan penggerak utama urusan merisik dan melamar sehingga kami berjaya naik ke pelamin dan membina mahligai bajagia.


Kak Nor lebih banyak memain peranan merancang dan melaksanakan proses mengikut adat budaya dari merisik kepada melamar sehingga ke perkahwinan kami. Dia menasihatiku setiap langkah. Dia menemaniku ke rumah bakal mertua yang agak keras pandangan untuk mengajak bakal isteri (masa tu baru mengikat janji aka bertunang) keluar kononnya membeli perabot untuk rumah kami nanti. Mungkin bagi masyarakat sekarang ianya enteng sekali tapi tidak pada masa itu. Selepas menemani, dia melepaskan kami berdua untuk saling kenal mengenali. Maklumlah kami hanya diperkenalkan melalui gambar oleh match-maker dan kemudian merisik dan seterusnya.

KEJAYAAN

Arwah mula menempa kejayaan bila berkecimpong dalam perusahaan batik. Abe Mae memain peranan dalam mengikat designer yang berbakat dan pemilihan kain bermutu untuk mengeluarkan kain batik yang eksklusif. Dan melalui sepupunya yang lain pelanggan eksklusif dibawa ke kedai. Bila dia dapat menawan minat mereka, ia bagaikan menarik lebah-lebah untuk mendatang.

Dari situ kejayaan datang seolah melompat-lompat (leaps and bound). Dan dia tidak lokek memberi sedeqah kepada rumah-rumah anak yatim dan yang memerlukan setiap tahun. Dia juga membela anak-anak angkat.

SEJAMBAK BUNGA DI PUSARA

Kak Nor sepupuku dan juga kakakku,
Ketika aku tergaru dia pimpin tanganku,
Ketika aku memerlukan dia ada bersamaku
Ketika aku nak terjatuh dia naikkan semangatku.

Dalam menongkah jaya dikau murah bersedeqah,
Engkau buka ruang kepada kami bersama ke arah,
Dengan para saudara engkau memang pemurah,
Bukan hanya harta, senyum dan semangat jadi sedeqah.

Kini engkau sudah dipanggil pergi,
Semoga amalan dan sedeqahmu menemani,
Dalam kubur ibarat taman syurgawi,
Di Padang Mahsyar awan memayungi.

Bahagialah engkau di Sana wahai teman,
Anak yang soleh dan solehan mendoakan,
Kami di sini juga akan selalu memanjangkan,
Tahlil arwah dan zikir tanda ingatan.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: