AKU SEORANG PESARA

PENCEN

20191230_101439Sekarang ini hebuh sangat berkenaan isu pencen bilamana Kerajaan Malaysia Baharu mengumumkan akan memansuhkan Kemudahan Pencen dan memasukkan semua Penjawat Awam baharu kepada skim tanpa pencen. Pelbagai reaksi timbul dan pelbagai ketidakpuasan hati diluahkan. Kemudahan yang sudah bertapak sejak berkurun dari zaman Om Puteh lagi ingin dijarah kerana kononnya membebankan Negara. Jadi adakah keringat peluh Penjawat Awam berdekad lamanya sepanjang perkhidmatan untuk Negara hanya satu sumbangan wajib tanpa timbal balas?

Aku tidak mahu berhempas pulas di sini membicarakan isu ini. AKU SUDAH PENCEN. Dan aku amat puas dengan segala perkhidmatan yang telah dicurahkan kepada Negara sepanjang aku bergelar Penjawat Awam. Aku bersara On The Dot ketika Kerajaan BN tumbang dan Kerajaan Baharu diterajui PH mengambil alih. Sepatutnya aku mengakhiri perkhidmatan ku sebelum bercuti untuk pencen 2H lagi tetapi pemberian 2H Cuti Khas menamatkan perkhidmatanku setakat itu sahaja. Cukup Sampai Di Sini nyanyian Malek Ridzwan amat berkesan.

Aku telah mengimbas tentang perubahan kehidupanku daripada berkhidmat kepada santai menjalani kehidupan seharian. Mengimbas kembali melalui Laluan Memori lepas amat mengesankan, lebih-lebih lagi menilai apakah yang telah mencorakkan nilai dan tingkah lakuku kepada Siapakah Aku pada hari ini. Pautannya boleh didapati DI SINI.

AKU YANG DULU

Bila menulis tajuk ini terkenang aku kepada satu lagu yang cukup mengesankan nyanyian Si Cilik TEGAR dari tanah seberang. Aku Yang Dulu. Walaupun ianya tidaklah menyamai kehidupanku di kampung, ia tetap terkesan tentang kecekalan seorang anak yang susah tetapi mempunyai fikrah yang tinggi dan kepercayaan teguh kepada Ilahi.

Aku adalah seorang Budak Kampung dari Kampung Tangok Bachok Kelantan. Ayahku seorang peniaga kampung yang tidak boleh membaca tetapi adalah seorang guru al Quran yang amat tegas di dalam penerapan hukum tajwid dan makhraj bacaan. Kehidupan kampung adalah indah dan untuk mengekalkannya di dalam ingatan aku telah menulis blog khas untuknya; Memoir of Kampung Life in Kelantan.

Dari kampung aku telah ke Kota Bharu, tinggal bersama kakakku satelah ditawarkan ke Kelas Khas di Sekolah Menengah Sultan Ismail yang mengumpulkan murid-murid pintar seluruh Kelantan. Sebagai murid dari sekolah luar bandar, aku terpilih juga walaupun markah pencapaian agak jauh dari rakan-rakan baruku dari sekolah-sekolah di bandar. Dari situ aku mendapat laluan ke SMS Kelantan yang baharu diujudkan dan kemudian ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, di kalangan persona yang hebat-hebat belaka. Rasa rendah diri selalu ada: “Budok Darat Maghi Mmano“.

Dari situ aku berjaya ke UK sehingga menggulung ijazah Sarjana Muda dari University of Leeds. Syukur. TERIMA KASIH KERAJAAN. Akan ku taburkan jasa setakat termampu bagi membalas jasamu.

PERKHIDMATAN AWAM

BEKALAN AIR KELANTAN

Aku memulakan perkhidmatan sebagai Penjawat Awam pada 21hb Sept 1982 di JKR Kelantan sebagai seorang Jurutera Awam Sangkut. Gaji RM700+ sahaja. Pada hari pertamaku mendaftar di sana, aku berbasikal ke pejabat. Tak pernah ke Pejabat Kerajaan sebagai kakitangan, aku macam ayam kampung masuk bandar. Ternampak sederet kawasan parkir berbumbung dan kawasan lapang sebagai tempat parkir. Aku letak basikal aku di satu petak dengan mengunci ke tiang. Rupa-rupanya itu tempat kereta Timbalan Pengarah. Petangtu semasa aku nak ambil basikal, dia menegur “Razali, datang dengan basikal?” Aku hanya mampu tersipu. Besarnya Malu tak usah nak ceritalah. Masa itu berbasikal bukan satu trend lagi.

Aku mula berkhidmat di Bahagian Projek Air yang bertanggungjawab membina loji dan memasang paip di kawasan Kelantan Utara melalui sumber pinjaman Persekutuan dan Asian Development Bank. Aku sangat teruja dan memasang tekad untuk menjadi The Best Water Engineer in the country. Masa iu aku sudah memiliki kereta pertamaku; Nissan Sunny 130Y. Aku diberikan tugasan mengawal selia pembinaan loji dan pemasangan paip di kawasan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tanah Merah. Bossku seorang yang sangat praktikal. Dia mengajarku tanpa nampak mengajar selok belok Kejuruteraan Air. Alhamdulillah dalam empat tahun lebih di situ aku sudah masak dengan technicalities bekalan dan rawatan air konvensyenal sehingga digelar oleh bossku kemudian sebagai Pakar Rujuk beliau.

Selepas itu aku ditukar ke Bahagian Bekalan Air JKR Kelantan untuk pengurusan air dari segi perbekalan (supply), rekabentuk dan tawaran hingga ke perancangan perbekalan air. Satu dari kemahiran yang sukar didapati di tempat lain adalah Air Bawah Tanah sehingga mampu membentangkan kertas kerja ke Mesyuarat Pegawai-pegawai kanan JKR Malaysia. Aku juga membangunkan pelan-pelan piawai Bekalan Air untuk memudahkan proses tawaran dan pemantauan di tapakbina.

JURUTERA DAERAH LIPIS

Dari Bekalan Air aku ke JKR Lipis sebagai Jurutera Daerah. Dari awal aku ke sana aku sudah diberikan berupa amaran oleh Pegawai Daerah supaya dapat bekerjasama dan memberikan contoh kononnya predecessor aku ditukarkan kerana gagal bekerjsama. Aku diam dan cuma mengangguk kepala. Dalam hatiku aku memasang tekad bahawa Daerah ini akan mengingati namaku lama selepas aku meninggalkannya.

Daerah ini amat nostalgik buatku. Inilah langkah pertama aku ke Pengurusan Jabatan Teknikal peringkat Daerah. Terlalu banyak yang aku pelajari dan dengan rendah diri aku nyatakan bahawa terlalu banyak yang aku curahkan. Di sini aku mengenal erti Organisational Excellence di mana setiap bahagian di dalam organisasi perlu deliver sebagai satu pasukan dengan hati yang ikhlas. Setiap anggota memberikan yang terbaik bukan kerana arahan di atas tetapi kerana itulah dorongan hatinya. JD turun sebagai integrator dan pelengkap sahaja. Tiada wira atau indispensables dengan pembahagian tugas yang adil dan samarata dan interlapping.

Aku mengerti apa dia emergency dan bagaimana menanganinya. Sebelum kejadian tanah runtuh Highland Towers, Jalan KM58 Kuala Lipis – Gua Musang terlebih dahulu runtuh menyebabkan satu dari jalan utama Persekutuan, FT08 ditutup. Kemudiannya KM72 pula runtuh tetapi dapat kami buka sebelum Hari Raya. Dengan kerjasama yang rapat dengan Ibu Pejabat JKR Pahang terutama Pengarah Dato’ Prof. Dr. Ir Wahid Omar, aku telah dapat selesaikan 10 kawasan tanah runtuh.

Kami juga dapat membantu PERHILITAN Click_Remmenyelesaikan tanah runtuh laluan ke Gunung Tahan melalui Merapoh sehingga mereka menghadiahkan 2 ekor rusa untuk kami jadikan menu istimewa Jamuan meraikan pegawai Ibu Pejabat.

Kami juga mampu membantu staf warga K.Lipis keturunan India yang hilang lemas di sungai dan juga staf JKR Lipis sendiri. Ini sedikit sebanyak mengurangkan stigma dengan masyarakat India kerana kami terpaksa meruntuhkan satu kuil haram untuk laluan kepada pembesaran jalan masuk ke Bandar Kuala Lipis. Pemandu Pajero jabatan kami, Yusof bukan hanya dapat pandu kenderaan darat, malah air juga dan mampu membaca riak air seolah membaca papantanda jalanraya.

Kuala Lipis adalah tempat aku mencoretkan brandingku. Pengibar bendera tepi jalan yang teragak-agak hendak menahan trafik mengawal lalulintas sebelumnya aku asuh supaya berani bertegas dengan rasa hormat diri. Pasukan Senggara Jalan juga aku asuh supaya berhenti di tepi jalan membantu jika ada kemalangan agar Logo JKR menjadi Logo Kesayangan Rakyat dan bukan Logo bahan ketawa. Pembantu-pembantu Teknik aku termasuk Jurutera Jalan amat rapat bekerja sehingga sanggup keluar di tengah malam menyelesaikan masaalah yang timbul. Terlalu banyak pengalaman aku di sini. Ada yang sudah aku tuliskan di dalam Blog dan FB, yang masih di fikiran dan mungkin yang telah berlalu di angin petang. Apapun aku amat berpuas hati dengan perkhidmatanku di sini. Dari sini aku ditukarkan ke JKR Pahang tak sampai setengah tahun sebelum bertukar pula ke Setiu sebagai Jurutera Daerah berpangkat J2 (Setaraf J48).

JURUTERA DAERAH SETIU

ktangan_jkrsBila di sini, pengalaman di JKR Lipis membuat aku mudah melaksanakan tugasan, lagipun Negeri Terengganu adalah mesra penjawat awam. Segala permohonan tambahan bajet mudah diluluskan. Bangunan pejabat juga besar dan luas. Kes jambatan runtuh di jalan ke Penarek akibat scouring semasa banjir telah aku selesaikan. Seorang mandor hampir pencen gigih bekerja di dalam air di bawah. Di sini staf menggunakan satu kaedah luar biasa; memasang gabion di atas jalan dan menolak jatuh secara terkawal ke bawah. Pak Cik Mandor akan perkemaskan kedudukan sangkar dan jahitkan blok-blok gabion ini. Dengan ini kami dapat membuka jalan dalam masa tidak lebih 2 hari sahaja.

LOCAL AREA NETWORK DAN WEB SITE

Di sini aku menyambung perancanganku yang tidak sempat aku siapkan di JKR Lipis, iaitu; merangkaikan kakitangan di dalam satu LANS agar dapat bekerja secara integrated dan berkongsi maklumat secara mudah. Aku dengan menghubungi otai-otai pengkomputeraan dalaman berjaya membangunkannya. Maka terbinalah LANS JKR Setiu dan Laman Web yang kami letakkan di Xoom.com.

P/S: Penulis Seteko Kasih sudah meninggal dunia.. Al Fatihah buat arwah yang merupakan seorang pelukis pelan rendah yang kreatif.

Laman web ini aku bangun dan update sendiri. Kakitangan digalakkan supaya menyumbang artikel dan berita untuk dimuatnaik. SKALA yang dibangun dan gunakan oleh JKR Malaysia secara standalone pada masa itu sudah dapat kami rangkaikan di dalam LANS. Pembantu Teknik muatnaik laporan di komputer masing masing dan apabila siap, En Mat Yunan akan integrate dan email kepada HQ.

Dengan Laman Web ini aku telah maklumkan kepada agensi-agensi pelanggan supaya merujuk di sini untuk mengetahui status projek-projek mereka secara kemaskini dengan tidak perlu menalipon dan bertanya khabar. Ia amat memudahkan. Selepas membuat Laman Web ini kami tidak lagi menerima aduan lewat terima laporan dari agensi klien.

INTAN JALAN ELMU – PENGAJIAN PENGURUSAN MAKLUMAT

Walaubagaimanapun, satelah memuatnaik banyak foto-foto di dalam Laman Web, kami dapati bahawa laman kami menjadi perlahan dan lambat untuk diakses. Pada masa itu ada tawaran untuk pengajian 9 bulan Pengurusan Maklumat di INTAN Jalan Elmu, bergaji penuh dengan elaun pengajian. Aku tidak melepaskan peluang ini walaupun pada masa itu isteriku sedang mengandung 6 bulan anak kami yang ke Lima. Terkebil-kebil dia mendengar berita, seakan percaya atau tidak. Aku sudah nekad. Demi Ilmu, terpaksa aku tinggalkan Sayangku.

Aku mula mendaftar diri di INTAN Jalan Elmu pada 01 April 1999 dan bermulalah aku menjadi pelajar semula, mendiami asrama dengan kelengkapan asas sahaja. Episod setiap minggu menaiki bas dan turun di bandar Permaisuri Setiu pun bermula dengan episod panjat pagar jika bas tiba terlalu awal (ada kalanya pukul 4.00 pagi). Malam isnin pula naik bas balik ke KL.

Isteriku yang sarat mengandung menguruskan semua empat orang anak-anak kami keseorangan di Setiu. Dia hanya mengharapkan bantuan jiran-jiran. Aku akan sentiasa berterima kasih kepada Dr Rusli, isteri dan ibunya, juga JT Wan Jo, Suhaimi dan Kak Mah yang sentiasa bertanya khabar. Anakku yang keLima; Nur Izzah Hidayah lahir ketika aku belajar di INTAN. Tergegaslah aku ke Hospital Jerteh memandu seorang diri pagi esoknya. Bila Hospital hendakkan tambahan darah, En Ramlee pemandu dan Wan Jo yang dermakan. Aku sendiri takut jarum!!!!

BTM JKR MALAYSIA

OLYMPUS DIGITAL CAMERAAwal Tahun 2000 aku ditukarkan ke Bahagian Teknologi Maklumat, Ibu Pejabat JKR Malaysia mengendalikan Fax Server, RightFax yang mampu mengeluarkan group-fax secara digital. Selain itu Unit aku; Unit Pengkomputeraan Kolaboratif dan Pengurusan Desktop menguruskan semua desktop di jabatan serta mengendalikan Help Desk. Ia menyedarkan aku bahawa apa yang aku pelajari selama 9 bulan di INTAN masih lagi sedikit dan hanya mampu memberikan kefahaman tentang sistem maklumat digital dan pengurusan aliran informasi.

BAHAGIAN JALAN JKR KELANTAN

Pada pertengahan Tahun 2001 aku telah kembali balik ke Negeri kelantan sebagai Pen. Pengarah Jalan JKR Kelantan, kemudiannya dinamakan Ketua Penolong Pengarah. Apalah ada pada nama sedangkan tanggungjawabnya adalah sama sahaja; menguruskan jalan-jalan persekutuan dan negeri di bawah JKR. Sebagai KPPJ aku mendalami segala ilmu berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan jalan.

Sebagai KPPJ aku merancang, mengurus dan menyelia projek-projek jalan di JKR Kelantan. Antara projek persekutuan di bawah aku adalah, Jambatan Sg Galas, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai (3 pakej), Jambatan Sultan Yahya (penyelenggaraan), Jalan Bukit Bunga, Jalan Pesisir Pantai, Jalan Beris Lalang, Jalan Aril dan pelbagai jalan dan jambatan negeri. Hal ehwal bencana, banjir dan tanah runtuh juga diletak di bawah Bhg Jalan. Aku juga terdedah kepada teknologi-teknologi baharu di dalam kejuruteraan jalan. Terlalu banyak yang berlaku untuk sentuh.

Highlight perkhidmatanku di Bhg Jalan JKR Kelantan adalah menyelaras laluan dan persediaan tempat untuk dua Perdana Menteri, Pak Lah untuk Malaysia dan Thaksin untuk Thailand melaluinya pada 11 Okt 2004 bagi merasmikan Cadangan Pembinaan Jambatan Bukit Bunga.

JKR PERAK

Pada April 2005 aku telah bertukar ke JKR Perak, mulanya sebagai Pen.Pengarah Bangunan dan kemudian sebagai KPP Korporat. Projek Velodrom Rakyat dilaksanakan semasa aku di sana. Semasa di Bhg Korporat aku terlibat dengan cadangan penyusunan semula organisasi JKR Perak dan penjanaan ICT Blueprint sehingga Tahun 2010.

Aku tidak merasakan banyak sumbangan besar dicurahkan di sini tetapi agaknya Pengarah aku berfikiran sebaliknya kerana semasa di sinilah aku dianugerahkan Pingat Paduka Mangku Perak. Aku menerimanya melalui Tengku Mahkota Perak pada masa itu yang kini adalah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

PROJEK LAPANGAN TERBANG KUALA TERENGGANU

Aku ditempatkan di Projek Lapangan Terbang Kuala Terenganu, di bawah Cawangan Pangkalan Udara dan Maritim JKR Malaysia bermula pada 16 Nov 2006 sebagai Pengurus Besar Kanan Pembinaan Gred J54. Projek ini mengandungi 5 pakej kontrak. Pada mulanya aku ditempatkan di Pakej 1, pembinaan apron untuk kawasan parkir pesawat. Ada seorang lagi PBK Pembinaan yang menguruskan pakej-pakej yang lain.

Walaubagaimana pun aku diarah menguruskan pembinaan bagi keseluruhan pakej lapangan terbang ini bermula Jan 2007. Bila aku ambilalih Pakej 2; Pembinaan Terminal, Bangunan DCA, Menara Kawalan dan Bomba Lapangan Terbang ini, kemajuan projek hanyalah sedikit lebih 25% sedangkan ia perlu disiapkan pada bulan Ogos 2007 mengikut tempuh kontrak asal. Dengan pemantauan, koordinasi rapi dan slave-driving the contractors, Terminal ini dapat dibuka untuk Operasi Ketibaan pada bulan Oktober 2007. Operasi Pelepasan berjaya dimulakan pada 28 Nov Tahun yang sama.

Selain dari kedua pakej tersebut ada 3 lagi pakej Kontrak;

  1. Pakej 3: Runway Extension
  2. Pakej 4A: Pemanjangan Landasan ke Laut dan Pembinaan Infrastruktur
  3. Pakej 4B: Penambakan Laut dan Kawalan Hakisan Pantai

Pakej 4A&B diberi milik tapak pada 14 April 2008 dan Kapal Terbang B747 berjaya membuat mendaratan sulong pada 11 Okt 2008. Ini bermakna, pemanjangan landasan ke laut beserta infrastruktur pengoperasian berjaya disiapkan dalam 5-1/2bulan sahaja. Ini adalah satu pencapaian luar biasa dan mungkin rekod dunia jika didaftarkan. Perceritaan secara lebih mendalam tidak dapat saya lakukan untuk Blog Pencen ini. Insya Allah kalau diizinkan saya akan khaskan satu Blog untuk projek ini di masa akan datang.

PROJEK PUSAT LATIHAN APMM GEBENG KUANTAN

Pada 6 Jan 2010 aku ditempatkan di Projek Pusat Latihan APMM mengandungi 2 Fasa di bawah Pengarah JKR Pahang. Berbanding dengan Projek Lapangan Terbang, teknikaliti projek ini tidaklah terlalu mencabar dan aku dapat menguruskan Fasa 1 tanpa sebarang masaalah.  Fasa 2 agak mencabar kerana karenah kontraktor tetapi juga dapat disiapkan dengan baik.

Projek ini mendapat perhatian KSN Tan Sri Sidek Hassan yang datang melawat tapak pembinaan secara berkala. Ia juga mendapat anugerah Naib Johan Pengurusan Projek Reka dan Bina Terbaik.

Di sini aku telah mengujudkan satu Central Data Storage untuk membolehkan kakitangan memasukkan data dan maklumat untuk dikongsi dan gunasama. Di sini juga aku telah memulakan DOKUMENTASI PROJEK SIAP sebagai satu dokumen seakan ‘Coffee Table Book tetapi dengan lebih terperinci. Aku di bantu oleh Arkitek Nur Irdina Oh dan kakitangan yang lain. Aku berhajat ini menjadi satu trend yang akan merebak ke seluruh JKR sebagai satu norma. Sayang…. Hanya tinggal harapan.

Dok Projek Siap

PROJEK INFRASTRUKTUR PESAWAT HELIKOPTER

Aku ditempatkan di projek ini pada Feb 2012 satelah kerja-kerja utama projek APMM disiapkan. Projek ini bermasaalah dari awal lagi ekoran rekabentuk yang ditawarkan oleh kontraktor tidak disetujui oleh Agensi Pelanggan. Masaalah ini berlarutan sehingga satu mesyuarat khas diadakan bagi memuktamadkan konsep rekabentuk Hangar. Ini telah memakan masa dan mengakibatkan cash flow kontraktor bermasaalah sehingga menjejaskan pembayaran kepada designers. Aku telah sedaya upaya berusaha menyiapkannya tetapi tidak berdaya kerana masaalahnya terletak kepada cash flow kontraktor. Apapun semasa aku meninggalkannya ia sudah lebih 90% siap.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT CDPK JKR MALAYSIA

Aku ditukarkan ke Ibu Pejabat JKR Malaysia di Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat pada 01 Oktober 2014. Satelah 8 tahun menguruskan projek ianya adalah satu new ball game bagiku. Dan aku mengakhiri perkhidmatanku kepada Kerajaan di sini.

BKK berperanan sebagai pengurus aduan awam JKR, jawapan di Parlimen, penderafan ucapan pengurusan atasan, pengurusan media dan hebahan maklumat jabatan. Peranannya merangkum dan aku adalah orang komunikator jabatan dengan orang awam.

Pada Tahun 2014 ini bencana Banjir Air Kuning menimpa negara dan Bilik Gerakan Banjir dan Bencana menjadi nadi penyaluran maklumat. Pada masa ini BGB dikemudikan oleh seorang yang sangat dedikasi dan kreatif Mejar Ir Tajul Urus dan beliau meminta agar BKK berperanan bersama BGB. Ini merupakan titik tolak pertama dan Pengarah CDPK Dato’ Jamal memberikan keizinannya. Dengan kerjasama, kami ujudkan portal maklumat yang boleh zoom kepada lokasi-lokasi jalan terputus atau cerun runtuh secara real-time. BGB juga hasilkan grafik jalan alternatif untuk semua lokasi terputus perhubungan darat. Ini menjadikan akses kepada Laman Web kami amat tinggi sehingga ada yang mencecah hampir 100K.

Aku bertuah kerana pada masa itu bekas pengarahku semasa di JKR Kelantan, Dato’ Ir. Hj.Annies adalah Ketua Pengarah dan beliau memudahkan urusanku disamping memberikan tunjuk ajar dan peransang. Beliaulah pencorak kepada BKK berperanan sebagai tonggak komuniti alam maya penyampai maklumat sahih yang diyakini rakyat. Beliau bersara dan majlis diadakan pada 30 April 2019.

Dengan halatuju yang ditunjukkan aku memacu BKK ke arah tersebut. Alhamdulillah kami mempunyai kakitangan berkemahiran tinggi yang hanya perlu digarap dan asah bagi mencapai tujuan tersebut. Untuk ini kami telah mewujudkan satu ikon; Mr JKR sebagai imej kartun penyampai maklumat. Wajah Dato’ Annies yang merupakan pencetus kepada badai ini digunakan sebagai model Mr.JKR.

Dengan penghasilan itu kami tidak pandang ke belakang lagi dan terus menghasilkan maklumat-maklumat projek secara grafik dan juga video-video. Kami melawat cawangan-cawangan untuk dapatkan informasi dan melatih pegawai di Cawangan-cawangan untuk bersama hasilkan maklumat dan grafik yang hampir publication-ready. Antara cawangan paling aktif adalah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan.

Ketua Pengarah Kerja Raya yang baharu; Dato’ Seri Dr. Ir. Roslan Md Taha telah meningkatkan lagi momentum ini dengan idea-idea baharu dan mempelopori usaha ini di Jabatan-jabatan serta Kementerian yang lain. Beliau telah memaklumkan bahawa usaha kami sudah dipuji oleh YABrs Tan Sri KSN sendiri dan terakhir sehingga ke YAB Perdana Menteri sendiri di dalam Mesyuarat Tertinggi.

Siara-siaran ini boleh didapati di Facebook JKR; Laman Jabatan Kerja Raya Malaysia (Public Works Department). Video-video boleh didapati di Laman Youtube JKR: JKR Malaysia YouTube.

Blog JKR MalaysiaDi senja perkhidmatanku aku telah ujudkan Blog JKR Malaysia. Blog ini adalah kesinambungan kepada siaran Facebook yang lebih terjurus kepada rakyat awam. Blog JKR Malaysia bertujuan memaparkan maklumat mendalam di dalam aspek-aspek teknikal dan diharap akan menjadi Rujukan para teknikal yang terdiri dari Arkitek, Jurutera, Ukur Bahan, kontraktor, pensyarah dan pelajar teknikal.

JKR Malaysia melalui Bhg Pengurusan Ilmu, CKUB telah mewujudkan satu komuniti knowledge sharing: JCOP di dalam Web JKR tetapi hanya khusus kepada warga Kerja Raya sahaja.

Adalah menjadi harapanku agar Komuniti ini dibuka kepada orang awam yang berdaftar dan telah melalui tapisan keilmuan untuk mengembangkan lagi peranan JKR sebagai Rakan Rakyat mengikut arahtuju KPKR Bersara Dato’ Ir Hj Annies. Ini telah dibincangkan dengan Pengasanya Pn, Sr. Roznita Othman dan beliau bersetuju ianya sebagai arahtuju tetapi masih belum bersedia untuk membukannya pada masa itu.

Aku juga telah merangka dan membangunkan JKR Tweetformation, iaitu; rangkaian tweet yang telah disiarkan lebih-lebih lagi Tweet Berangkai menjadi satu Pangkalan Ilmu Berangkai bagi pencinta Twitter. Ia dipermudahkan dengan sistem navigasi dalaman membolehkan pengguna pergi ke mana-mana Maklumat Tweet (hence Tweetformation – Tweet Berinformasi) di dalam rangkaian.

CLICK HERE.Click_Rem

Harapan aku adalah sesuai dengan matlamat Going Global 2020, JKR sudah dapat mewujudkan satu cara baru penggunaan Twitter yang bukan hanya menjawab ringkas cara tweet and forget it kepada satu sistem berangkai maklumat agensi yang dipermudahkan melalui cara penggunaan tweet. Oleh kerana Tweetformation ini adalah terma kami, pencarian terma ini akan sampai ke JKR Malaysia. Ini merupakan Global Outreach. Platform sudah ada, pegawai Informasi hanya muatnaik maklumat yang mampu menarik perhatian dunia. BKK akan merangkai ke dalam rangkaian Tweetformation sebagai maklumat berangkai.

AMBO PENCEN DOH

Dalam berhempas pulas membangunkan perkara baru ini, sedar tidak sedar aku sudah sampai ke penghujung perkhidmatan. Kerajaan kata, “Bo lah.. Cukuplah.. Ore lain pulok“. Aku sebagai Penjawat Awam terpaksa akur. Cukup Sampai di sini. Baik Tan Sri.

MAJLIS PERPISAHAN DI CDPK

Ada aku pernah dengar seorang merintih bahawa apabila dia bertukar, dia pergi begitu sahaja tanpa sebarang majlis perpisahan. Ia seolah datang tak diminta, pergi tak ditahan. Alhamdulillah aku tidak diperlakukan sedemikian. Tuan Pengarah CDPk dengan murah hati menganjurkan Majlis berkenaan yang dihadiri oleh Pegawai-pegawai kanan Bahagian-bahagian di CDPK termasuk staf aku. Terima kasih tuan kerana penghargaan ini. Doa dibaca oleh Ustaz Ir Ezry al Jazary yang selalunya menjadi pembaca du’a rasmi majlis-majlis Kementerian Kerja Raya.

Video Perpisahan yang telah hasilkan oleh staf-staf aku.

Agaknya mesej sebenar adalah pada rangkap terakhir tu….Tak mungkin..tak mungkin…Cukup sudah kau menyakiti… HAHAHA..

MAJLIS PERPISAHAN OLEH STAF BKK

Majlis yang lain diadakan oleh staf aku di Restoran Tupai-Tupai. Majlis ini sangat bermakna sekali dan aku dihadiah satu Buku Khas bertajuk SEMALE DEMO DI SINI.

Aku Pesara

Aku sudah memuatnaik satu Blog Khas untuk ini. Jadi tak perlulH ulangi lagi rasanya. Cuma sekali lagi aku ingin merakamkan setinggi-setinggi TERIMA KASIH kerana majlis ini dan segala tenaga dan buah fikiran yang telah dicurahkan. TANPA ANDA SIAPALAH SAYA.

BLOG AKU KINI SEORANG PESARAClick_Rem

MAJLIS DI RUMAH

And surprise….. Rupanya Keluargaku tidak mahu ketinggalan mengucapkan Persaraan… TERIMA KASIH.

dan diakhiri dengan Hadiah istimewa dan WOW…..MUACHHHHHHH…

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: