BANJIR ATAU TIDAK?

HUJAN MULA LEBAT /
FENOMENA BANJIR BESAR

Hujan lebat sudah mula melanda kawasan Kota Bharu dari 15hb Nov 2019 lagi. Di dalam radio Kelantan FM juga sudah berulangkali memberikan amaran bahawa Air Pasang Besar akan melanda kawasan pantai Kelantan dari 23hb hingga 26hb Nov 2019.Banjir 2019 Jangkaan

Walaubagaimana pun semakan pagi ini memberikan ramalan yang berlainan, iaitu; 25 hingga 28hb Disember pula. Apapun rakyat Kelantan memang sudah masak dengan masaalah banjir. Jentera pengurusan banjir pun orang kata ‘well-oiled‘, siap dengan pengkalan-pengkalan hadapan tempat simpanan stok makanan, kedudukan loji-loji bantuan, tempat pemindahan dan Jabatan-jabatan Kerajaan peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

Sejak dari hujan lebat 15hb, setiap hari ada hujan bberek (LOL.. maaf di atas terminologi yang hanya difahami orang tempatan – Hujan Manja kata anak saudara!!!) yang membasahkan tanah dan melimpahkan air di kawasan-kawasan rendah. Ini adalah petanda bahawa Banjir Besar bakal melanda.

Ada 3 fenomena yang biasanya akan menyebabkan Banjir Besar, iaitu;

1. hujan berterusan di kawasan hulu (menyebabkan paras air sungai naik meninggi),

2. hujan lebat dan berterusan di kawasan hilir (kawasan di bawah. downstream dari kawasan tadahan) dan
3. Air Pasang Besar. Bila ini terjadi, air yang banyak mengalir ke sungai utama yang sudah sedia tinggi paras airnya menyebabkan air ‘sebak’. Air laut pula menolak air itu ke darat, menyebabkan banjir besar.

PETANDA AWAL

Kawasan rumahku sudah dilimpahi air hujan.

Bila kejadian hujan bberek ini berlaku dan cuaca mula mendingin sampai ‘masuk tulang hitam‘, ianya adalah seolah-olah alam sedang membisikkan “hai manusia. bersiaplah kamu kerana banjir akan melanda”. Dan manusia akan menjawab dengan mengeluarkan hasil mahsyul dari dalam bumi berupa Ubi kayu, Ubi Keling (rastali) dan ikan darat dari bendang dan kawasan tangkungan air.

UBI KAYU

Dari ubi kayu ni keluarlah pula makanan berupa Kueh Putu Halba berintikan kelapa+gula melaka dan dimakan dengan mencicah kelapa muda parut yang dicampur garam dan gula secukup rasa. Entah mengapalah kueh dan makanan musim banjir ini tidaklah menyelerakan sangat di luar musim banjir. Maha Pengasih Allah Taala yang menjadikan selera kita seiring dengan kedapatan (availability) makanan berkenaan. Kalau memandu di kawasan kampung pada musim ini akan kelihatanlah pak-pak tani dengan kain lepas di bahu, berseluar camping (seluar kerja tanah) dan setengah tu masih bersemutal di tepi-tepi jalan dengan longgokan ubi kayu untuk dijual. Dan harganya murah sangat. Kalau tak gali, ubi akan ‘carak air‘ dan rosak.

Ubi yang sedap dimakan adalah yang empuk selepas direbus. di dalamnya akan menjadi lebik macam telur separuh masak. Di luar sedikit keras. Bila dicicah dengan kelapa muda parut tadi dalam keadaan masih hangat, Allahu akbar, terlalu enak di makan dalam keadaan perut menanti kemasukan makanan dan cuaca yang mendingin.

IKAN DARAT

Juga akan kelihatan di tepi jalan di kawasan-kawasan tangkungan air seperti bendang, atau bekas sawah, kaki joran dan pukat dengan hasil ikan darat yang naik ke atas dan mudah ditangkap. Mereka juga dengan pakaian kebiasaan mereka. Ada yang hanya dengan kain lepas pembalut aurat sahaja dan kebanyakan dengan rokok di tangan untuk menghangatkan badan. Golongan wanita juga tidak melepas peluang menunjukkan bakat.

Walaupun begitu, perlulah berhati-hati kerana sengat ikat keli sangatlah menyakitkan. Ikan haruan juga dapat ditangkap di masa ini. Adalah rahmat Allah Azzawajall bahawa ikan-ikan darat mahu keluar dari dalam lumpur dan bermain-main di air yang banyak menjadikan ia mudah untuk ditangkap dan menjadi habuan enak makanan manusia. Adik ku sangat sukakan ikan keli. Aku pula memang tidak suka.

MANGSA BANJIR TAHUN 2004

Bila teringatkan banjir, ingatan memang tidak boleh melupakan Banjir Tahun 2004. Pada masa itu aku bertugas di JKR Kelantan sebagai Pen Pengarah Jalan dan mendiami rumah dua tingkat di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab. Aku baru balik dari Kemaman (rumah adik ipar) selepas menghadiri tugasan rasmi di Ibu Kota bilamana banjir melanda. Masa balik dari sana pun kami terpaksa meredah air di dalam perjalanan. Nasib baik pada masa itu aku mengunakan kereta panduan 4 roda milik pejabat, jadi dapatlah meredah air di dalam perjalanan hingga sampai ke Kota Bharu.

Kawasan perumahan kami sudah dinaiki air tetapi aku yakin masih dapat sampai ke rumah yang kedudukannya agak tinggi sedikit selepas meredah air untuk sampai. Kebetulan pandangan professionalku diperlukan kerana ada barge pasir milik kontraktor yang menjalankan kerja menambun pasir di Lembah Sireh tersangkut di pier Jambatan Sultan Yahya Petra. Bila balik aku sempat dialihkan dua buah keretaku ke kawasan jalan baharu yang kononnya dibina melepasi paras banjir. Hanya Pajero tu aku letakkan di dalam kawasan rumah kerana yakin paras air tidak akan meninggi lagi berpandukan tahun-tahun sebelum ini.

Pada malam itu orang sekampung bersiap siaga mengalih kenderaan dan barang-barang berharga tetapi aku sekeluarga tidur dengan lena sekali. Maklumlah semalam memandu jauh sambil meredah banjir dan terpaksa pula keluar meninjau Jambatan Sultan Yahya untuk pengesahan keselamatan lalulintas. Keesokannya, Pajero memang sudah tidak dapat keluar kerana air di luar sudah di paras pinggang. Bila aku keluar ke tempat dua buah kereta aku diletakkan, di dapati ianya sudah tenggelam separuh tayar. Memandangkan ianya diletakkan di atas jalan baharu yang sepatutnya melepasi paras banjir, aku yakin air tidak akan meninggi lagi dan ia selamat di situ. Itu adalah keputusan yang meranapkan ribuan wang aku kerana keesokannya air sudah sampai ke tahap dashboard... Menyesal tak berguna.

BOSS PERIHATIN

Keesokan harinya pegawai Bilik Gerakan Banjir datang menjemputku dengan Land Cruiser yang sudah diubahsuai (kawasan injin dibalut plastik dan exhaust dinaikkan ke paras bumbung). Bertugaslah aku di Bilik Gerakan dengan hati yang berdebuk-debak kerana keluarga berada di rumah dalam keadaan air masih meninggi. Tetiba masuk Pengarah JKR Kelantan yang baru. Satelah menyapaku dia bertanyakan bagaimana rumahku dan keluarga. Satelah memberitahunya dia berkata;

Baliklah Li. Attend to your family. We can manage this. We have sufficient well trained staff

Adoiiii..Macam Pucuk Di Cita, Ulam Mendatang. Tergegaslah aku pulang. SALUTE YOU BOSS. TABIK SPRING. (Sekarang beliau sudah Allahyarham… al Fatihah)

Saksikan Video di bawah yang mencatatkan pengalaman suka-duka Banjir 2004.

BANJIR TAHUN 2014

Banjir ini dikenali sebagai Banjir Air Kuning kerana air yang turun dari hulu membanjiri kawasan-kawasan di bawah adalah berwarna kuning pekat dek hakisan tanah-tanah oleh kederasan air yang turun dari kawasan tadahan. Terlalu banyak kerosakan berlaku menyebabkan keluar satu video dengan tajuk Kelantan Menangis.

PERISTIWA BANJIR SECARA TERPERINCI

Aku pada masa itu tiada di Kota Bharu kerana bertugas di Ibu Kota. Oleh itu tidaklah dapat kuceritakan tentangnya secara eye witness. Walaubagaimanapun saya mendapati fenomena banjir 2014 telah diceritakan dengan sangat terperinci oleh MatDinGunung di dalam blognya. Tabik Cikgu kerana Blog yang lengkap ini:

http://matdingunung.blogspot.com/2015/01/bah-kuning-di-kelantan-bahagian-1.html?m=1

BANJIR DAHULU KALA SEMASA DI KAMPUNG

Semasa dahulu sebelum pembinaan Ampangan Pergau yang digunakan untuk janaan tenaga elektrik hidro, episod banjir ini berlaku secara regular. Kampung kami terletak di atas kawasan gong. iaitu; kawasan tanah tinggi di daerah Bachok dan terlepas dari sebarang banjir walaupun yang paling besar.

Kawasan kampung kami dahulu dijadikan kawasa pemindahan mangsa banjir dan rumah kami di kampung adalah satu dari tempat mangsa banjir tumpang berteduh semasa banjir besar Tahun 1967. Saya telah menceritakan peristiwa ini di dalam Blog saya yang lain di rantaian berikut:

https://memoirofkampong.wordpress.com/2017/07/14/here-i-am/

Wassalaamu’alaikum…

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: