USHUAIA TRIP, SATU MEMOIR

PERJALANAN KE HUJUNG DUNIA @END OF THE WORLD; USHUAIA

27hb Okt.

Perjalanan dan Ketibaan dari Buenos Aires ke Ushuaia

Perjalanan ini telah dirancang dan aturkan oleh anakanda Noor Amanina aka Nana dan suaminya Ariff Naufal. Kami; aku dan isteri telah pergi berlima termasuk cucunda sulung, Aidil Zafri.

Cuaca hari ini terang dan panas, alhamdulillah. Kami tidak perlu memakai baju tebal seperti hari-hari sebelumnya dan hanya cukup dengan thermal wear dan T-shirt bila keluar dari apartmen Nana. Penerbangan ke Ushuaia dari Buenos Aires berlepas pada pukul 10.30pg. Penerbangan adalah selama lebih 3 jam dan kami tiba pada pukul 2.00pm. Berikut adalah catitan berfoto penerbangan ini di Facebook;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214722558070627&id=1024520509

Pemandangan dari udara amat memukau semasa melintasi banjaran gunung-ganang yang diliputi salji dan laut serta tasik membiru. Awan berarak rendah berkelompok, menambah lagi keindahan suasana tersebut.

LAPANGAN TERBANG

Lapangan terbang Ushuaia amat unik rekabentuknya, berasaskan kayu dengan atap menurun hingga kayu penyambutnya mencecah tanah. Struktur dan panel dalaman adalah dari kayu.

DARI LAPANGAN TERBANG KE HOTEL CILENE

Semasa perjalanan dari lapangan terbang, kelihatan rumah-rumah yang unik berderatan dalam pelbagai bentuk berasaskan kayu dengan warna yang menarik.

PEMANDANGAN MUKA BUMI

Di belakang kelihatan banjaran gunung diliputi salji. Di bawah pula adalah tasik dengan pangkalan bot dan kapal-kapal. Sungguh menakjubkan.

KING CRAB

Ushuaia adalah terkenal dengan restoran ketamnya. Besar sangat ketamnya; king crab. Laut Selatan memang habitat ketam jenis ini dan kata pengusaha restoran, dia mendapatkan bekalan setiap 2-3 hari segar dari laut.

Ianya dibela di dalam tangki akuarium dan dan diambil hidup-hidup untuk dimasak agar hidangannya sentiasa segar. Bagi peminat ketam, ianya syurga. Aku yang tidak menyukainya berpuashati dengan ikan jenis stout. Amat lazat rasanya.

28hb Oktober

LAWATAN KE NATIONAL PARK Tierra del Fuego

Pakej Pelancongan kami ke Ushuaia dimulai dengan lawatan ke National Park, Tierra del Fuego. Aku anggarkan ada 30 orang semuanya dari pelbagai bangsa dalam bas berkenaan. Pemandu pelancong bercakap kebanyakannya dalam bahasa Sepanyol dengan sedikit terjemahan dalam bahasa inggeris.

Untuk masuk kami dikenakan bayaran sebanyak $350peso. Ianya lebih kurang RM35, satu bayaran yang amat berbaloi. Laluan jalan tidak berturap tetapi agak selesa. Di kiri-kanan jalan dipenuhi dengan pokok-pokok hutan cuaca ‘temperate’, tidak tebal sepertimana hutan tropika. Kawasan alor dan lembah dengan air jernih menambah suasana alam sekitar yang terjaga.

Sampai di satu tempat kami diminta berjalan melalui laluan denak yang telah disediakan untuk menikmati suasana alam, melihat flora dan fauna serta pemandangan sekitar yang damai lagi menakjubkan.

FLORA

Pelbagai flora tumbuh termasuk jenis lumut seperti yang ada di Mossy Forest, Cameron Highlands Malaysia.

PENERANGAN

Pemandu pelancong memberikan penerangan mengenai tempat yang disinggahi dan persekitaran National Park di dalam Wilayah Argentina sahaja.

WALKWAY DAN PLATFORM

Laluan walkway dibina di kawasan tertentu untuk membolehkan kita sampai di platform disediakan bagi menikmati pemandangan dan mengambil foto.

LAKE ACIGAMI

Bas kami tadi mengambil kami semula di hujung perjalanan 30 minit tersebut dan membawa ke destinasi seterusnya, Lake Acigami. Sampai di sini cuaca mula berubah menjadi terang dan sunny sedangkan tadi hujan renyai-renyai menjadikan foto kurang terang dan jelas.

END OF THE WORLD TRAIN

Seterusnya bas membawa kami ke Stesyen Keretapi End of the World Train. Ia adalah satu laluan keretapi yang telah dibina oleh banduan-banduan semasa dahulu.

Kami berhenti di satu stesyen untuk bergambar termasuk dengan petugas-petugas berpakaian banduan dahulu. Katanya berhenti 15min sahaja tetapi agak lama juga berhenti kerana ramai turun dan bergambar.

STESYEN KERETAPI TERAKHIR DUNIA

Stesyen terakhir adalah di akhir perjalanan. Di sinilah stesyen terakhir dan paling selatan keretapi ini dan wajarlah ia digelar End of the World Train. Pemandu pelancong mengambil kami semula di sini. Perjalanan balik adalah dekat sangat dengan bandar Ushuaia.

BALIK KE HOTEL DAN KING CRAB LAGI

Kami tiba di hotel dalam pukul 3.00pm. Perut pun sudah terasa lapar. Cornflakes lah menjadi sandaran mengalas perut. Apapun, dalam keletihan terasa kepuasan mengikuti perjalanan tersebut dalam cuaca yang sangat baik satelah hujan renyai-renyai pada sebelah pagi.

Dan sebelum malam tiba kami pekena lagi King Crab yang lazat tersebut (bukan untuk aku lah). Harganya cuma $900peso seekor bersamaan dengan RM90. Ianya dianggap sangat berbaloi. Aku lihat di Chinatown Buones Aires, harga king crab mentah adalah 2300peso/kg.

29hb Oktober

LAWATAN BOAT TOUR JELAJAH BEAGLE CHANNEL HINGGA KE ISLA MARTILLO DAN LALUAN DARAT BALIK KE USHUAIA

Kami bermula dengan sarapan pagi di hotel dan selepas itu berjalan ke PiraTour di tepi laut. Program lawatan kami hari ini adalah Boat Tour melalui Beagle Channel; San Juan del Salvamento Lighthouse digelar End of the World Lighthouse, kawasan batu-batu hidupan anjing dan singa laut, Martillo Island (penguin island) dan museum, laboratory hidupan laut selatan.

PERMULAAN PERJALANAN;

BATU REHAT BURUNG-BURUNG LAUT

Bot kami melalui kawasan batu-batu tempat burung-burung berkumpul. Kami dimaklumkan boleh menaiki dek atas untuk ambil foto.

SEA LIONS / ANJING LAUT

Kemudian kami melalui kawasan anjing-anjing laut berkumpul. Pemandu pelancong menyebutnya sebagai sea lions.

END OF THE WORLD LIGHTHOUSE

Seterusnya kami melihat satu lighthouse di atas batu di dalam laut. Batu itu dipenuhi burung-burung. Pemandu pelancong menyebutnya sebagai Lighthouse at the End of the World.

PANGKALAN – HUJUNG PERJALANAN

Destinasi seterusnya adalah pangkalan di mana terdapat restotan untuk menghilangkan lapar dahaga dan berehat selama 1 jam. Bot akan berlepas ke Penguin Island pukul 1.10 tengah hari.

RESTORAN

Oleh kerana sudah lapar, kami mengambil keputusan makan di sini. Aku order menu yang disebut vegetarian. Kunyahlah juga untuk mengalas perut walaupun rasanya tidak menyelerakan.

PENGUIN ISLAND

Seterusnya kami di bawa dengan bot yang lebih kecil ke Isla Martillo untuk bersama kumpulan penguin yang bersarang di sana.

Foto-foto di Isla Martillo atau Penguin Island adalah seperti berikut.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214741530064915&id=1024520509

Semasa mendarat di pulau tersebut kami diberikan peringatan agar ‘Control your emotions‘. Kami tidak dibenarkan mendekati melainkan di dalam jarak yang sudah ditetapkan. Penguin membuat sarang di dalam tanah macam arnab. Kawasan ‘perumahan penguin’ itu di sekat dengan tali untuk memastikan pelancong tidak memasukinya. Penguin bukanlah haiwan jinak dan sebarang tindakan mendekati untuk memegangnya mungkin menyebabkan burung laut ini lari ke tempat lain.

MUSEUM HAIWAN MARIN LAUTAN SELATAN

Seterusnya kami dibawa kembali ke pangkalan tadi untuk lawatan ke museum dan laboratori hidupan marin laut selatan. Di sini kami diberikan penerangan oleh pelajar atau penyelidik di situ dalam bahasa inggeris tebal dengan slanga sepanyol yang menyukarkan aku memahaminya. Apapun foto di dinding beserta tulang ikan sudah menjelaskan maksud dengan terang lagi tersuluh.

PERJALANAN BAS BALIK KE USHUAIA

Bas datang mengambil kami dari di sini. Seterusnya adalah perjalanan melalui jalan darat balik semula ke bandar Ushuaia melalui kawasan pergunungan yang diliputi salji.

Kami tiba di Pusat Informasi Ushuaia di mana perjalanan berakhir pada pukul 5.30pm. Ianya satu lawatan yang sudah pastinya akan terpahat di dalam minda sebagai kenangan pengalaman perjalanan di End of the World sepertimana selalu disebut oleh pemandu pelancong yang petah bercakap tersebut.

30hb Oktober
GLACIAR MARTIAL

SALJI DARI TINGKAP

Pagi ini kami melihat satu pandangan menakjubkan di luar tingkap, salji menurun di musim pertengahan bunga ini. Makin lama ia makin lebat dan kelihatan putik-putik salji melayang ditiup angin. Sungguh mengasyikkan. Syukur, ya Allah. Syukur di atas nikmatMu.

Hari ini adalah hari aktiviti bebas dalam pakej lawatan ke Ushuaia kami. Ariff telah menyewa sebuah kereta untuk kami berjalan-jalan. Tempat yang dituju adalah Glaciar Martial, 7km dari pusat bandar yang boleh didaki untuk sampai ke tempat di mana glacier boleh dilihat.

GLACIAR MARTIAL

Kami bertolak dalam pukul 9.45pg. Jalannya mendaki ke kawasan tinggi. Di tengah perjalanan, salji mula turun dan kami teruja turun dari kereta dan bergambar.

KETIBAAN

Kami sampai ke penghujung jalan tersebut yang berakhir di kawasan pelancongan dalam pukul 10.20pg. Kelihatan banjaran gunung diliputi salji di atas. Di bawah adalah kawasan penginapan, kedai barangan souvernier dan restoran.

MENDAKI

Kami mula mendaki melalui jalan yang diliputi salji. Kami jalan perlahan-lahan ikut kemampuan cucu kami, Aidil. Sebenarnya kudrat aku pun tak lah seberapa. Memang mendaki bukan kekuatan aku.

PERTENGAHAN

Kami sampai di kemuncak mengikut agakanku dengan kudrat yang sudah di penghujung tetapi rupanya perlu mendaki lagi untuk sampai ke Glaciar. Aku cakap

‘Cukuplah abah di sini sahaja. Ariff naiklah’

kepada menantu kami. Dari situ ada simpang ke jalan keluar yang tidak diliputi salji. Kami duduk dulu di situ. Sedang kami melangkah turun ada sepasang Mat Salleh memanggil dan memaklumkan sudah tak jauh ke atas sambil menunjuk ke laluan atas. Satelah berbincang kami ambil keputusan mengikuti nasihat dan menggagahi diri meneruskan pendakian. Aidil masih boleh berjalan sendiri walaupun berpimpin. Malu aku kepada cucu 3 tahun ni. Masa itulah salji mula turun.

(VIDEO)

SAMBUNG PENDAKIAN

Dekat lagi kononnya. Jauh juga menggagahi kudrat berjalan. Aidil sudah tak larat dan berhenti rehat dengan Nana di tepi laluan naik. Aku, In dan Arif naik lagi. Sudah nampak stesyen kereta kabel lama yang aku bayangkan tempat meninjau glacier. Tak jauh lagi aku dah terlalu kepenatan dan berhenti, baring di tepi slope sambil meracau, racau ikut apa terlintas di kepala. Ingat In saja yang ada. Satu pasangan Mat Salleh bertanya kepada In,

‘Is he all right? Do you need help’

‘OK. He just tired’

Malu aku. Bangun tersengih-sengit bercakap sepatah dua dengan mereka. Mereka dari Buenos Aires.

CUKUPLAH DI SINI

Kami teruskan sehingga stesyen kereta kabel lama tersebut. Ada papantanda menunjukkan ke atas untuk ke Glacier. Adoii.. Dah tak larat sangat dah ni. Aku bagitahu Arif kalau dia nak, naiklah ke atas. Aku memang dah KO. Kami tinjau kawasan di situ sahaja.

TURUN BALIK

Arif naik seorang ke atas kerana nak tengok apa yang ada. Bila turun dia bagitahu bahawa yang atas tu hanyalah pandangan keseluruhan kawasan lembah. Cantik pemandangannya. Untuk melihat glacier, perlu panjat bukit dahulu. Memang sah dah kami tak mampu nak lakukan. Cukuplah sampai di sini sahaja. Kami pun memulakan perjalanan turun. Jauh sangat terasa berjalan menurun.

LA CABANA
Masuk kedai La Cabana.

2.30pm Badan sudah sangat keletihan. Turun bukit adalah satu kegigihan, ‘sikit lagi, sikit lagi.‘ Sampai juga ke bawah. Tiada public toilet di sini. Kalau ada keperluan, kenalah masuk kedai makan. Perut pun sudah kelaparan. Maka masuklah kami ke kedai di situ, La Cabana. Decornya memang unik dan cantik. Kami makan scone dan pizza buat pengalas perut. Kopinya sedap.

JALAN-JALAN

Turun ke bawah, Arif pandu saja melalui Laluan RN3. Aku beberapa kali terlelap. Jalan yang dilalui adalah melalui kawasan pergunungan dan banjaran gunung diliputi salji kelihatan di sepanjang perjalanan. Pandu sambil menikmati pemandangan sahaja. Selepas jarak yang agaknya 30km, Arif membuat U-turn dan berhenti di tepi jalan.

Masa pukul 4.30pm dan Nasi Briani Brahim, bekalan dari rumah pun dibuka. Alas hanyalah baju hujan plastik yang nipis. Di bawah adalah kawasan tasik. Tangan yang sejuk beku menyuap nasi ke mulut. Nikmat sungguh makan apabila perut lapar dan badan penat tambah pula di tempat berpemandangan begini. Selepas tu, kami meneruskan perjalanan balik. Aku asyik lelap sahaja.

Alhamdulillah. Inilah penamat kepada lawatan kami ke Ushuaia dan esok adalah penerbangan balik ke Buenos Aires. Sudah tentu ini adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan dan akan dikenang sepanjang masa.

Terima Kasih Anakku Noor Amanina dan Arif kerana merancang dan menjayakan lawatan ini. You are both awesome. We are thankful to both of you.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: