PANTAI SABAK DAN MASJID AR RAHMAN PULAU GAJAH

8 Ogos, Rabu

AIRPORT PENGKALAN CHEPA

Hari ini adalah hari ke3, cucu kami Hannah Sofea ada bersama kami kerana kedua ibu bapanya terpaksa hadir kursus induksi selepas 5 tahun berkhidmat sebagai guru mathematics MRSM. Walaupun telah mendapat pelbagai pengiktirafan di atas dedikasi sebagai guru mathematics, mereka masih lagi berstatus sementara dengan gaji yang statik. Guru-guru yang se angkatan dengan mereka sudah saban tahun merasai kenaikan gaji. Nasib ke atau kelemahan pentadbiran? Apapun tak baik membebel di pagi hari.

9.30pg Kami bertolak ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Tampak airport lighting sudah bernyala dan satu pesawat sudah dalam keadaan bersedia untuk bergerak. Beberapa kenderaan sudah mendereti pagar airport untuk melihat pesawat berlepas dari landasan. Ini adalah satu dari tarikan kepada penduduk tempatan. Kami terus ke destinasi; sebuah warung menjual perlbagai menu nasi berlauk. Istimewanya di sini adalah lauk ayam kampung yang uummmph. Dan seperti yang diduga, kelazatannya masih seperti biasa.

10.30pg Wife mengajak aku ke USM untuk menziarahi anak saudaranya yang telah dibedah semalam untuk mengeluarkan fibroid. Sementara menunggu masa melawat, aku menuju ke Pantai Sabak, menyelusuri pantai yang sudah bertambak dengan batu-batu revetment. Hakisan pantai ini amat teruk dan memaksa pendekatan berbentuk kejuruteraan pantai bagi mengelakkan berlaku lebih banyak rumah hanyut ke laut setiap kali musim bah (banjir).

PANTAI SABAK

Jalan di tepi pantai tersebut sudah bertar walaupun sempit dan satu kereta perlu berhenti bila berselisih. Pelbagai pemandangan menjamu mata kami. Kehidupan penduduk persisiran pantai yang kononnya dhaif. Dalam kedhaifan itu di sana sini tersergam rumah umpama mahligai hadir di celah-celah rumah-rumah kampung. Di penghujung jalan terdapat satu pengkalan bot dengan pelbagai bot yang dihias dengan warna-warni dan bentuk mitos jawa dan hikayat ramayana.

MASJID AR RAHMAN

Papan tanda menunjukkan jalan ke Kg Pulau Gajah. In beritahu bahawa isteri kepada bapa saudanya berasal dari kampung ini. Kami pun menyelusuri jalan kampung tersebut sambil menikmati suasana kampung. Tiba-tiba pandangan kami terpaku kepada satu bangunan yang sangat gah dan jalan masuk daripada paving block berhias. Bila diamati, rupa-rupanya ianya satu masjid besar dan unik di hujung kawasan kampung. Hati bertanya-tanya, apa yang istimewanya sehingga dibina masjid yang sebegini hebat.
Rupabentuk bangunannya adalah berinspirasikan Masjid Kampung Laut yang merupakan rujukan para arkitek tentang senibina masjid Melayu.

Di dalam masjid ada seorang pekerja sedang mencuci karpet. Kami bertanya beberapa soalan mengenai masjid ini. Katanya masjid ini dibiayai oleh seorang persendirian berstatus Dato, berpusat di Ibu Negara. Dato ni sering pulang ke kampung kerana mengusahakan chalet yang berdekatan dengan masjid ini.

Masjid ini dibina dengan kayu-kayu tulin. Tiangnya dengan kayu bulat sebatang.

Mengikut kata pekerja tersebut, kayu-kayu diimpot dari Indonesia. Pekerja-pekerja mahir juga didatangkan dari sana. Tampak ianya sangat berseni. Penggunaan kayu bukan sahaja pada kerangkanya tetapi juga pada dinding, ensel pintu, penyangkut baju di tandas, ukiran ayat-ayat suci al Quran dan kaligrafi Islam. Senibina Islam Nusantara jelas terpancar di segenap inci masjid ini.

Meninjau keadaan dan senibina masjid, teringat pula aku kepada masjid kayu Seberang Jertih yang memang pun berasaskan senibina melayu Terengganu, ilham Dato Seri Idris Jusoh, Ahli Parlimen Besut yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dan selepas itu Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Di satu sudut Masjid Ar Rahman ini terdapat sebuah beduk dan keratong yang digunakan pada zaman dahulu untuk menandakan masuk waktu solat sebelum azan.

20180808_112943_resize

Di keliling kawasan masjid adalah kawasan air di dalam kawasan pokok gelam. Wakaf-wakaf di letakkan di sudut menarik untuk membolehkan pengunjung menikmati suasana nyaman di sini. Wakaf itu pun dibina dengan berseni dengan tempat duduk selesa. Semuanya berasaskan kayu.

Bila sudah pukul 12.00pm kami terpaksa mengorak pergi kerana ingin ke USM untuk melawat anak saudara isteriku. Berat rasa hati meninggalkan masjid unik indah ini.

Semoga Allah SWT memberikan pahala berlipat kali ganda kepada insan bergelar Dato yang telah membina masjid ini untuk anak tempatan.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: