PUSAT PERKUBURAN ISLAM RAUDHATUL SAKINAH GOMBAK

RAUDHATUL SAKINAH (KUBUR DALAM TAMAN)

Nama perkuburan ini timbul apabila 11 daripada mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 Sept 2017 yang menyayat hati itu dikebumikan di sini.

http://www.astroawani.com/foto-malaysia/kebakaran-di-pusat-tahfiz-keramat-4570/fire-and-rescue-officer-carying-out-body-during-fire-45595

TANAH PERKUBURAN

Biasanya tanah perkuburan adalah suatu tempat yang menyeramkan dan hanya dikunjungi oleh mereka yang mahu menziarah sanak keluarga yang telah meninggal dan membacakan ayat-ayat al Quran dan doa untuk mereka. Dalam keadaan ini perasaan pengunjung diselangi ingatan kepada yang telah pergi dan mungkin perasaan seram lagi sunyi di persekitaran yang sedemikian. Di dalam filem Pendekar Bujang Lapok, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menjadikan situasi ini sebagai satu ujian bagi pengamal persilatan untuk menguji kecekalan jiwa menghadapi dugaan gangguan makhluq halus (tak halus pun dalam filem tuu) di tanah perkuburan.

KUBUR DALAM TAMAN

Dengan latar belakang itu, persinggahan kami di Tanah Perkuburan ini membuka mata kepada tanah perkuburan yang seolah di Taman Syurga (macamlah dah ke sana. Apa bayangan manusia sekali pun tidak akan mampu menggapai suasana Taman Syurga, apatah lagi Djannatul Firdaus, tempat kembali golongan anbiya’).

Terima kasih kepada JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN yang telah memperkenalkan konsep ini. Walau apapun polemik yang bakal dicetuskan kerana konsep yang inovatif ini, ia bakal menjadi satu mercu tanda, satu perubahan minda dalam pengurusan tanah perkuburan. Ia adalah umpama tindakan Kerajaan Saudi Arabia yang menanam pokok-pokok dan menghijaukan bumi Hijaz yang dahulunya kering kontang di mana terletaknya Padang Arafah. Pelbagai isu diluahkan termasuk mendekatkan dunia kepada Hari Kiamat kerana hijaunya Bumi Hijaz itu adalah satu dari tanda-tanda menjelangnya Hari Kiamat.

KAWASAN PERKUBURAN BARU

Ianya terletak di sebelah Jalan Gombak menghala ke Tol DUKE E33. Kawasannya adalah luas (seluas 55 ekar) dan terletak di kawasan prime. Kerajaan Wilayah Persekutuan telah mengorbankan peluang membangunkan kawasan ini sebagai kawasan komersial demi penduduk Islam. Isaha ini patut dihargai.

Satu pintu gerbang yang besar menjadi pintu masuk ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah. Masih terdapat banyak kekosongan lot-lot untuk ditempah!!! Dari pandangan mata, kawasan perkuburan yang luas ini baru dibuka dan dijadikan lot-lot yang mungkin boleh ditempah oleh keluarga.

TANAH PERKUBURAN

Selepas pintu masuk yang tertutup semasa kami melawat (ada pintu kecil untuk orang berjalan keluar-masuk) terdapat bangunan pejabat yang nampak selesa sepertimana pejabat-pejabat pelancongan dan bukan pejabat perkuburan. Di tepi jalan dihiasi sengan pokok-pokok bunga berwarna warni dan pokok rendang.

TAPAK PERKUBURAN

Kawasan penempatan lot-lot kubur dibina secara zon dan setiap zon mempunyai tempat rehat siap berbangku konkrit yang di jubinkan. Terdapat pili paip untuk membasuh kaki dan kegunaan pengunjung. Di antara zon dibina kawasan pejalan kaki yang luas dan selesa.

KAWASAN KUBUR ASAL

Kawasan kubur asal juga nampak terurus kemas dengan binaan tepi petak kubur (dipanggil belindang di Kelantan). Pokok-pokok rendang sudah membesar. Kami beranggapan kawasan baru ini pun mungkin akan tampak ketamanannya selepas pokok-pokok dan bunga-bungaan hidup segar.

PANDANGAN

Setinggi-tinggi tahniah kepada Jab Agama Islam WP Kuala Lumpur yang telah menzahirkan konsep Kubur Dalam Taman ini. Pembinaan kawasan perkuburan cara ini akan membuang stigma ziarah kubur dari satu yang terpaksa untuk menghormati arwah-arwah keluarga kepada suatu tempat yang menenangkan untuk dilawati. Dari ingatan kepada azabnya kubur kepada insya Allah tempat kembali yang menenangkan jika sudah membuat persediaan yang cukup.

Projek ini perlu diwarwarkan dan hebahkan kepada awam agar minda boleh berubah dan memberikan semangat untuk menghidupkan sunnah ziarah kubur sebagai satu amalan yang menjadi budaya hidup masyarakat Malaysia. Dengan mengingati yang telah pergi, adalah diharapkan agar kita lebih dapat menghargai mereka-mereka yang masih ada bersama kita. Janganlah pemergian mereka nanti ditangisi sedangkan kehadiran mereka tidak dihargai.

Wallaahu aklam.

2 thoughts on “PUSAT PERKUBURAN ISLAM RAUDHATUL SAKINAH GOMBAK

Add yours

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: