#FTRoadpedia Edisi Timur – Cipta Detik Indah Bersama – Part 1

ftroadpedia-logo

#FTRoadpedia ada satu program ‘Refreshment Outlook‘ yang diilhamkan oleh YB Menteri Kerja Raya; Dato’ Sri Hj.Fadillah Hj.Yusuf bagi mempromosi Jalan-jalan Persekutuan sebagai Laluan Utama dan lebuhraya sebagai Laluan Alternatif. Jalan-jalan Persekutuan yang diselenggara oleh JKR sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan baik untuk perjalanan yang selamat dan selesa. #FTRoadpedia Edisi Pertama sudah diadakan pada 6 Ogos 2016 dengan perjalanan dari Kompleks Kerja Raya KL ke Lekir, Manjung, Perak. YB Menteri telah bersama-sama pengurusan atasan dan pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi di bawahnya berkonvoi menaiki bas bersama RakanKKR dan pihak media.

Kali ini adalah Edisi Timur yang mengekalkan kosep yang sama dari Kompleks Kerja Raya KL ke Kuala Terengganu dengan singgah bermalam di Cherating, Balok, Pahang. Perjalanan bermula pada 23 Feb 2017. YB Menteri menaiki bas bersama-sama pegawai-pegawai kanan, RakanKKR dan juga pengamal media berkonvoi menaiki bas menyelusuri Jalan-jalan Persekutuan bermula dengan FT68 dari Gombak ke Bentong, FT02 dari Karak ke Kuantan dan FT03 ke Kuala Terengganu

fbday1-01fbday1-06

YB Menteri adalah seorang yang sangat mudah didekati dan menyenangkan. Beliau tidak lokek  bergambar dengan sesiapa sahaja. Segenap permasaalah dan persoalan berkaitan kementeriannya berada di dalam genggaman dan beliau dapat memuaskan hati sesiapa sahaja yang bertanya dengan jawapan yang informatif. Dalam pada itu sifat kepahlawanan tidak jauh di belakang dan beliau dapat mematahkan setiap tohmahan murahan yang dilemparkan dengan beradab tetapi konklusif.

Laluan FT68 dari Gombak ke Bentong ini menggamit kenangan di masa lampau dengan jalan yang agak sempit, berliku dan berbukit. Ini adalah jalan utama pada tahun 70an dulu bilamana keadaan pembangunan infrastruktur negara masih lagi di peringkat formatif. Laluan ke Ibu Kota ini telah beberapa kali di naiktaraf dan dijajarkan semula menjadi laluan bertol sekarang ini. Laluan ini masih digunakan oleh orang tempatan dan pengguna yang hendak lari daripada laluan lebuhraya yang sesak di musim perayaan dan hujung minggu yang bersambung dengan cuti am.

Masih teringat lagi pada zaman dahulu, bilamana kualiti bas pun ala kadar sahaja, ibu bapa akan menggesa anak-anak supaya tidur bila tiba ke laluan ini. Yang muntah-muntah itu adalah perkara biasa. Sekarang ini naik bas dah macam naik pesawat dengan `air suspension‘nya yang menyerap segenap hentakan jalan dan kerusinya yang sedikit kurang sahaja daripada kerusi pesawat. `Seat‘ standard `Euro‘ pula lebih luas dan selesa daripada pesawat ekonomi. Menaiki bas Kementerian Kerja Raya ini adalah 10 tahun ke belakang daripada taraf tersebut dan agak mendugalkan tetapi kalau YB Menteri pun tiada masaalah untuk menaikinya, siapalah saya untuk berlebih mengomel.

Apapun perjalanan menyelusuri laluan ini menenangkan dengan pokok-pokok menghijau, satu kelainan dari kesibukan kota yang mengstresskan otak, menduga kesabaran dan menyesakkan nafas. Jalan ini menuju ke Janda Baik selepas Genting Sempah. Laluan lebuhraya boleh dilihat jauh di bawah di dalam perjalanan.

Kg Janda Baik ini mempunyai pelbagai cerita tentang asal usul namanya, ada yang logikal dan ada yang jauh di alam khayal bermitoskan makhluq-makhluq halus. Apapun saya tidak akan mengulas tentang itu kerana ia lebih sesuai dibarikan di tepi unggun api sambil berseronok bertanding bercerita atau oleh nenek-nenek kepada cucu-cucunya sambil menggobek sireh pinang.

Laluan mula menurun selepas Kg Janda Baik. Rakan-rakan di dalam bas masing-masing sibuk melayan lamunan masing-masing. Sessi penerakan konsep dan penyelenggaraan cerun dan jalan sudah selesai dan masing-masing menangkap mengikut pemahaman masing-masing. Di situlah peranan JKR untuk sentiasa cuba memaklumkan meng`educate‘kan rakyat tentang perkara-perkara teknikal. Lagi faham mereka, lagi mudahlah bagi JKR untuk fokus kepada pelaksanaan tanggungjawab secara betul tanpa terkejar-kejar memadamkan api kebakaran persepsi songsang yang ditular di media sosial yang tiada sempadan ini.

Laluan bersejarah yang masih hidup dan berkeadaan baik ini berakhir di persimpangan ke Lebuhraya Bentong – Gombak. Kami menyelusuri laluan ini menaiki FT68 yang sudah dinaiktaraf kepada Laluan 4 lorong sehingga ke persimpangan masuk ke Karak. Di situ kami berhenti untuk urusan kecemasan panggilan Tuanku yang tidak dapat disanggah.

fbday1-14

Sampai di sini dahulu Travelog #FTRoadpedia Edisi Timur. Insya Allah Bersambung….

One thought on “#FTRoadpedia Edisi Timur – Cipta Detik Indah Bersama – Part 1

Add yours

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: